Idea Hari Ini: Skim Ar-Rahnu dari Bank Rakyat
Borak-borak dengan teman sepejabat, dan dia ada membeli 2 syiling Kijang Emas dari Maybank.
Saya terfikir, simpan di rumah tidak begitu selamat dan tidak mendatangkan keuntungan. Ibu ada bercerita tentang skim Ar-Rahnu dari Bank Rakyat. Ar-Rahnu adalah pajak gadai yang (insyaAllah) berdasarkan hukum-hakam Islam.
Caranya .. simpan (atau sebenarnya, pajak) syiling emas, atau barang kemas di dalam Bank Rakyat. Bank Rakyat akan memberikan wang tunai 65% dari nilai barangan emas, dan kemudian ditolak caj-caj berkaitan. Dari wang tunai yang didapati, bolehlah melabur pada tempat-tempat lain (beli emas dalam bentuk passbook, mungkin?). Apabila tempoh matang, jual balik pelaburan anda, dapatkan keuntungan, dan bayar semula pada Bank Islam, jumlah yang telah anda dapati pada awal pelaburan. Di sini anda akan mendapat 2 kali keuntungan kerana:
1. Nilai syiling yang anda pajak, akan meningkat. Terpulang pada anda untuk menjualnya atau memasukkannya semula ke dalam skim Ar-Rahnu.
2. Pelaburan yang didapati dari wang tunai yang anda dapat dari Bank Rakyat. Tetapi, dengan syarat, anda harus menjual semula pelaburan anda dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan. Melaburlah di dalam program yang menjanjikan keuntungan, kerana sekiranya anda rugi, anda terpaksa menambah jumlah kerugian anda untuk menampung pembayaran semula ke Bank Rakyat.
Skim Ar-Rahnu juga ada ditawarkan oleh syarikat Estet Emas dan Yapeim. Saya tidak pernah membaca atau mempunyai pengalaman dengan 2 syarikat ini, tetapi sekadar memberitahu alternatif yang ada. Akan tetapi, ingin sekali saya sarankan agar anda memilih syarikat yang stabil dan boleh dipercayai, kerana syarikat yang baru lebih senang untuk bankrup, dan sekiranya sesebuah syarikat itu bankrup, maka tiada siapa tahu apa yang bakal terjadi kepada pajakan anda.
Setakat ini, secara peribadi, saya merasakan Bank Rakyat adalah pilihan terbaik untuk Skim Pajakan Ar-Rahnu. Terus-terang saya katakan, saya belum pun mempunyai dinar emas atau terlibat secara langsung dengan Ar-Rahnu, tetapi secara teorinya, saya yakin idea ini akan berhasil. Doakan saya berjaya, dan saya juga doakan anda berjaya. Amin.
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.bankrakyat.com.my/index.php?ch=6&pg=26&ac=13&lang=en
